Mana bagus tanam anak penanti durian kampung dulu lepas tu baru kahwin di ladang atau tanam terus anak siap kahwin ?

Ini antara pertanyaan banyak diutarakan oleh pembeli atau pendatang baru dalam industri tanaman durian. Nak tanam anak jawi ( anak durian kampung/ durian hutan) dulu, didik bela setahun di ladang sebelum dikahwin dengan baka pilihan seperti Musang King, Duri Hitam atau Monthong.

Atau beli terus anak durian Musang King yang siap kahwin dan balik terus tanam di kebun. Kadang persoalan ini, boleh mendatang dilema buat mereka yang baru menceburi diri dalam bidang ini, sebabnya kedua-dua pilihan di atas mempunyai pro dan kontra tersendiri. 

anak penanti kampung yang sedia dikahwin (cantuman mata tunas), ini antara pokok jawi yang agak 'degil' untuk dikahwin. Sudah berapa kali saya kahwin masih tidak berjaya. Ini antara risiko yang perlu ditanggung sekira guna kaedah tanam anak kampung dulu di kebun kemudian kahwin.

Bagi menjawab persoalan di atas, berlandaskan pengalaman saya yang masih baru dalam setahun dua dalam bidang ini. Tiada jawapan yang konkrit dapat saya berikan, ianya berbalik kepada situasi pembeli tersebut. Bagi mereka yang target tempoh masa yang cepat dapatkan hasil durian, saya syorkan terus tanam anak kahwin di ladang. Ini kerana tempoh masa sekurang-kurangnya 8 bulan sehingga satu tahun, sekurang diperlukan untuk anak penanti kampung membesar sebelum sedia untuk dikahwin di ladang.

Dalam tempoh ini, berbalik kepada situasi sekiranya kita tanam anak kahwin terus di kebun, contoh kita ambil benih durian siap kahwin standard besar sekitar 1 kaki setengah. Setahun pertama anak durian mungkin akan membesar capai sekitar 4-5 kaki tinggi. Tapi dengan syarat sistem pengairan di ladang yang cukup, pembajaan yang berkala dan jadual racun serangga/kulat sempurna.

Sekiranya tuan puan, sudah bersedia dengan sistem pengairan paip yang cukup di ladang, baik terus tanam anak kahwin. Ini dapat jawapan saya secara peribadi. Mungkin, kita keluarkan kos yang lebih untuk beli anak durian siap kahwin. Tapi dari segi kos baja dan racun sepanjang setahun pertama boleh kata kita tidak rugi. Ini belum masuk kos lain seperti menebas atau racun rumput. 

Sekiranya tuan puan berniat untuk tanam anak penanti dulu lepas tu baru kahwin, tuan puan harus ambil kira kos yang saya sebut di atas bagi tahun pertama. Ini belum termasuk masa 8-12 bulan yang rugi sebegitu saja. Kerana apabila anak durian dikahwin balik, kebanyakan akan bermula seperti asal balik. Nak-nak kalau jenis kahwin rendah. 

Proses cantuman mata sisip bagi anak jawi kampung
terdapat pelbagai kaedah cantuman mata, bagi saya lebih selesa 'kahwin' tinggi sebab lebih selamat dari musuh seperti lembu kambing dan rumput rumpai seperti selaput tunggul yang cepat naik sekira pekebun tidak cuci kebun dalam tempoh berkala
anak jawi kampung siap dikahwin, tunggu mata tunas bercamtun sekitar 25 - 40 hari. Peratus berjaya teknik cantuman di kebun agak rendah kerana banyak faktor seperti cuaca, tahap kesihatan pokok dan kaedah penjagaan kebun yang pelbagai .

Tanam anak jawi susah mati ?

Ini antara alasan diberi kepada pekebun memilih untuk tanam anak durian kampung dulu. Dikatakan susah mati dan anak pokok lebih gagah. Bagi saya ada betul dan ada mitosnya. Baik mana-mana spesies durian, 3 elemen utama air, cahaya dan baja penting. Sekira kita, tak cukup mana satu pembesaran anak pokok akan terbantut atau mati. Element ke-4 yang amat penting, jadual racun serangga/kulat yang berkala. Mungkin mereka yang baru, tidak sedar penting penggunaan racun yang berkala bagi mengelak anak pokok durian mati di peringkat awal tanaman.

Baik pokok jawi, sekiranya berhadapan musim kemarau yang panjang. Banyak saya tengok pokok tetap mati juga. Cuma dapat jimas kos bajet anak di sini.  

Masih minat tanam anak jawi jugak ? Boleh tiada masalah.

Tiada sistem pengaliran yang sempurna, tapi masih minat nak tanam durian. Tanam anak durian kampung sebagai penanti dulu, adalah pilihan terbaik untuk mereka yang kurang bajet atau baru nak belajar tanam durian. Ini kerana sekiranya anak durian mati, tak terasa sangat kos beli anak yang dikeluar. Anggap saja, sebagai yuran untuk belajar tanam durian.

Anda perlu bersabar sedikit 7-8 bulan, sebelum anak dikahwin dengan Musang King di ladang. Dan risiko kedua yang anda mungkin tanggung, ialah proses cantuman mata tunas tak berjaya. Kerana terdapat juga anak penanti yang degil & sukar untuk dikahwin, atau memerlukan proses yang berulang-ulang sehingga 3-4 kali baru lekat. Masa dan duit terbuang begitu saja.

Di harap gambaran ini, sedikit sebanyak membantu mereka di luar sana dalam membuat keputusan tepat berdasarkan situasi masing-masing.

Berbaloi tak tanam durian musang king ?

Bagi yang baru, dan ingin menceburi diri dalam bidang tanam durian, mesti tertanya berbaloi kita 'terjun' ke sini ? 

Secara jujur, boleh saya katakan ini berbalik kepada tujuan asal kita menanam durian itu sendiri. Adakah ianya untuk tanam sekadar hobi atau komersil. Ini banyak mempengaruhi corak kita dalam berkebun. Ialah tanam untuk makan sendiri, kita lebih mendatangi cara berkebun dengan lebih santai dan dalam skala yang lebih kecil. Tekanan itu tidak terasa sangat, baik dalam mengurus dan menantikan hasil durian akan berbuah.

Jika dibandingkan, dalam bentuk komersil - tanam target untuk betul² jual. Buat duit senang cerita. Anda patut ada sebuah plan perniagaan yang kukuh, modal yang tidak lekang dan masa ditumpu sepenuhnya di sini. Harus diingat tanaman durian ini, bukanlah seperti kita melabur dalam mana-mana instrument pelaburan labur tahun ini, tahun depan dapat hasil. Durian, bodoh-bodoh memerlukan 5 tahun ke atas untuk baru berbuah. Ini peringkat baru berbuah. Fasa, optimum pokok berbuah perlu 8 tahun ke atas. Bahkan ROI (return of investment) perlukan 12 tahun ke atas. Ini banyak memberi tekanan kepada pengusaha, setelah duit dan masa banyak dihabis di sini.

Silap perancangan, duit pun hangus dan masa setahun dua terbuang begitu saja. Mungkin ramai menganggap tanam durian ini macam tanam getah dan kelapa sawit. Ianya tidak seperti anda mimpikan. Tanaman durian, agak cerewet memerlukan banyak modal dan masa berbanding getah dan sawit. Ini menyebabkan ramai kecundang di awal-awal lagi sebab guna sifir tanam getah & sawit bila nak tanam durian. 

Cara terbaik tanam musang king

Antara cara terbaik bagi pendatang baru, yang kosong-kosong lagi dalam bidang ini. Anda tanam sikit-sikit dulu, cari ilmu dan kumpul pengalaman perlahan-perlahan. Sekiranya anda ada tanah 1 ekar, cuba tanam 10 pokok dulu bagi 2 tahun pertama. Anggap 'yuran' buat belajar. Masuk tahun ke-2, boleh tambah baki pokok selebihnya. 

Kenapa saya syor sifir seperti di atas, sekiranya anda tiada pengalaman ini antara pendekatan terbaik buat yang baru hadir dalam industri ini. Nampak macam lambat gila aku buat duit balik kalau tanam sikit-sikit macam ini. Harus kita diingat, sekiranya tak berjaya modal tak banyak sangat hangus. Masa pun tak terasa rugi sangat.

Durian musang king trend, hobi & pelaburan

Durian. 

Sebutan nama durian, semua akan teringat buah berduri yang masak bermusim ini. Menjadi kegilaan majoriti penduduk di asia tenggara. Jika dulu ramai sekadar suka memakan durian saja, namun sejak 5 tahun kebelakangan ini trend baru muncul bila ramai mula berminat menanamnya sendiri baik berjinak sekadar hobi atau lebih mendalam secara komersil.

Seperti mana tanaman komoditi lain, durian tidak terkecuali dengan pasang surut dalam industri ini. Dalam dekad, 90-an industri durian rancak dengan veriati D-24 menjadi sebutan disamping baka terpilih sedia ada dan baru seperti Udang merah, Mas muar @ IOI, tekka, D10. Malah baka dari negara jiran, Thailand seperti Monthong/Bantal Emas, Chenei & Tangkai panjang/ KanYon turut mendapat tempat di hati pekebun di negara ini. Sekitar akhir 90-an Industri durian memasuki fasa merundum/sunset industri  di mana hasilnya kurang memberi pendapatan yang setimpal kepada pekebun, ini turut di sumbang dengan masalah utama, isu buah mengkal D-24 yang memeningkan pekebun.

Kesannya ramai pekebun beralih ke tanaman kelapa sawit yang lebih berbaloi. Trend ini saya lihat sendiri, di awal 2000 ketika berulang alik dari KL - Kelantan, ramai pekebun durian Pahang sekitar Raub, Bentong mula menukar dusun durian lama sedia ada kepada tanaman sawit. Hanya sebilang kecil saja, mengekal tanaman durian itu kebun tidak terurus sebaik sebelum ini. Ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga getah bermula sekitar 2005, banyak kebun durian mula disodok diganti dengan anak getah klon KT tersohor ketika itu. Trend ini hampir paling ketara ketika 2008 hampir 70% kebun durian khususnya di tempat saya, Kelantan diganti dengan getah. Bayangkan harga getah mencecah hampir 6-7 ringgit sekilo berbanding dengan durian kampung tak sampai 50 sen sekilo.

 

Benih durian Udang Merah

Anak durian Udang Merah / Ang Hae / D175

Publish modules to the "offcanvs" position.