Durian musang king trend, hobi & pelaburan

Durian. 

Sebutan nama durian, semua akan teringat buah berduri yang masak bermusim ini. Menjadi kegilaan majoriti penduduk di asia tenggara. Jika dulu ramai sekadar suka memakan durian saja, namun sejak 5 tahun kebelakangan ini trend baru muncul bila ramai mula berminat menanamnya sendiri baik berjinak sekadar hobi atau lebih mendalam secara komersil.

Seperti mana tanaman komoditi lain, durian tidak terkecuali dengan pasang surut dalam industri ini. Dalam dekad, 90-an industri durian rancak dengan veriati D-24 menjadi sebutan disamping baka terpilih sedia ada dan baru seperti Udang merah, Mas muar @ IOI, tekka, D10. Malah baka dari negara jiran, Thailand seperti Monthong/Bantal Emas, Chenei & Tangkai panjang/ KanYon turut mendapat tempat di hati pekebun di negara ini. Sekitar akhir 90-an Industri durian memasuki fasa merundum/sunset industri  di mana hasilnya kurang memberi pendapatan yang setimpal kepada pekebun, ini turut di sumbang dengan masalah utama, isu buah mengkal D-24 yang memeningkan pekebun.

Kesannya ramai pekebun beralih ke tanaman kelapa sawit yang lebih berbaloi. Trend ini saya lihat sendiri, di awal 2000 ketika berulang alik dari KL - Kelantan, ramai pekebun durian Pahang sekitar Raub, Bentong mula menukar dusun durian lama sedia ada kepada tanaman sawit. Hanya sebilang kecil saja, mengekal tanaman durian itu kebun tidak terurus sebaik sebelum ini. Ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga getah bermula sekitar 2005, banyak kebun durian mula disodok diganti dengan anak getah klon KT tersohor ketika itu. Trend ini hampir paling ketara ketika 2008 hampir 70% kebun durian khususnya di tempat saya, Kelantan diganti dengan getah. Bayangkan harga getah mencecah hampir 6-7 ringgit sekilo berbanding dengan durian kampung tak sampai 50 sen sekilo.

 

Sinar industri muncul kembali, 2007.

Selepas banjir besar 2007 di kelantan, hampir semua jalan utama terputus paling parah ketika itu anak perantau menyambut raya puasa. Saya menghantar barang pagar elektrik ke Gua Musang, Kelantan.  Abang Mat, seorang kontraktor yang mengusahakan kebun getah di jalan Kuala Betis - Lojing. Semasa di kebun beliau, saya melihat banyak kawasan dibuka dengan kesan teres baru kelihatan dari jauh. Bila saya bertanya lebih lanjut dengan Abang Mat, adakah itu kebun getah baru hendak tanam.

Beliau menjawab itu semua, pekebun cina Gua Musang tanam durian kunyit, ada 30 ekar, 40 ekar malah mencapai 70 ekar ditunjuk bukit bersebelahan kebun beliau. Saya dalam hati, wah! Berani betul cina sini invest tanam durian. Mungkin sekarang mereka telah kaya raya, selepas 10 tahun rata-rata pokok durian sudah mula berbuah dengan banyak.

Ketika menjual sistem pagar elektrik sekitar awal 2010, amat jarang sekali kastemer bertanya atau membeli untuk tanam durian. Majoriti getah dan kelapa sawit. Trend tanaman durian saya sedari bila ada seorang kastemer dari Ipoh, Perak. Pada 2012 bertanya sistem pagar elektrik untuk tanam durian. Malah beliau sempat bertanyakan mana nak beli benih durian kunyit ketika itu. Payah sangat jumpa katanya. Beliau turut mensyorkan saya, kalau mampu buat nurseri sendiri, boleh buat sebab ada masa depan benda ini. Kerana beliau sendiri merasa agak sukar untuk dapat benih raja kunyit ini, walaupun berkunjung ke tempat asal durian ini, di Kelantan.

Malah apa yang saya tengok di awal 2000 sudah jadi terbalik pula, ramai yang mula tanam durian balik. Ini semakin ketara, siapnya laluan baru dibina antara Bentong Ke Raub. Jalan baru ini, secara dasarnya untuk jimat masa perjalanan antara KL - Kelantan. Di mana laluan baru ini banyak melalui kebun kelapa sawit di sini, saya peratikan trend baru muncul kembali, nampaknya industri durian Malaysia semakin bersinar. Agak banyak kelihatan pokok sawit besar mula diracun oleh para pekebun di tepi jalan raya, untuk beri laluan kepada tanaman durian balik. 

 

Musang King menjadi sebutan, 2014.

Bermula akhir 2013, nama musang king mula kedengaran di kalangan pekebun. Paling meletup bila mana, Raja Kunyit mula dieksport terus ke China sekitar 2016-2017. Malah bermula 2014 ramai golongan yang kerja 'tuck in' seperti guru mula berjinak-jinak menanam musang king. Jika dulu tanaman durian hanya untuk orang kampung itu pun ditanam bila ada lebih ruang tanah. Sekarang ini makin ramai golongan yang kerja pejabat, turut sama tanam durian, trend ini makin ketara selepas raja buah ini menjadi trend kegilaan di Tanah Besar China, dengan beberapa kes viral turut membantu promosi raja kunyit secara tak langsung. 

Agak tidak pelik, sekitar 2018 sudah ramai golongan professional seperti jurutera, doktor mula menanam Musang King baik sebagai hobi namun untuk pelaburan jangka panjang. Malahan kawan-kawan dari industri Oil & Gas khususnya di Sabah sudah mula secara serius membuat ladang musang king sebagai aset di masa depan.

Dengan struktur pekerjaan yang makin cepat berubah, wujud trend seperti Gig ekonomi (Grab, Uber) dan kedatangan Covid di akhir 2019 banyak merubah corak hidup dan alam pekerjaan. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi tanaman durian di negara ini, ada yang melihat sebagai hobi ketika PKP, ada yang nampak sebagai aset di masa depan dan ada turut menjadikannya sebagai pekerjaan sepenuh masa.

Ini serba sedikit pengalaman saya, sebagai orang biasa melihat perkembangan industri durian di sini. Ada yang nampak dari kaca mata sebagai hobi di masa terluang, ada yang mengikut trend kawan tanam kita pun nak sibuk tanam juga. Malahan ada yang melangkah secara lebih serius menjadinya durian sebagai pelaburan dan aset di hari tua. Jadi pilihan terletak di tangan masing-masing.

Sekian.

Rizal.
owner benihdurian.com
22.02.2022
Jeli Kelantan
MY


Print